Kereta terbakar semasa kena towing. Kejadian di Kunak

Seorang pemandu kereta tunda mengalami detik cemas selepas kenderaan yang diangkutnya tiba-tiba terbakar di Jalan Tingkayu, Kunak petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak Mohammad Omarbatha berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.20 petang.

“Susulan itu, seramai lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam.

“Sebaik tiba, sebuah kenderaan sudah terbakar keseluruhannya dan operasi terus dilakukan supaya api tidak merebak,” katanya dipetik Utusan Borneo hari ini.

Katanya, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan keadaan lokasi kejadian selamat dan api terpadam sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.06 petang.

“Semasa kejadian tiada mangsa di dalam kenderaan tersebut dan pemandu kereta tunda berkenaan juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan akan dijalankan bagi mengetahui punca kejadian dan anggaran kerugian yang dialami oleh pemilik kenderaan berkenaan,” katanya.