TENOM: Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata kerja pembersihan Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi (SJHTP) dijangka siap pada 1 Jun ini.
Menurutnya, kerja-kerja pembaikan dan pembersihan sedang giat dijalankan oleh kakitangan SESB di SJHTP.
“Lima pasukan sedang bertungkus-lumus menempuh jarak lapan kilometer keseluruhan untuk pergi dan balik berulang kali di dalam terowong bagi membersihkan lumpur dan kayu yang masih terdapat di bahagian “power house” dan “surge tank”.
“Pihak SESB bersama kontraktor juga telah berinovasi menggunakan kaedah yang tidak melibatkan sebarang aktiviti peletupan untuk tujuan penghancuran batu-batu besar bagi memudahkan proses pengalihannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke stesen Janakuasa berkenaan, di sini, baru-baru ini.
Madius berkata, sekiranya semuanya berjalan dengan lancar, stesen itu dijangka dimulatugas bermula Jun tahun ini dengan keupayaan membekalkan sekitar 60 megawatt (MW) tenaga elektrik kepada kawasan Keningau, Tambunan, Beaufort dan Tenom.
Hadir sama, Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin dan Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd. Yaakob Hj. Jaafar.
More Stories
CADANGAN GARIS PANDUAN UNTUK ORANG ISLAM TIDAK RELEVAN DENGAN SABAH – KM HAJIJI
Remaja perempuan maut jatuh dari tingkat 16 kondominium
Sisa elektronik, bahan buangan RM19 juta dirampas di Tawau