KERJASAMA AMBANK-SDP TAWAR PEMBIAYAAN RM100 JUTA UNTUK PKS SABAH

KUALA LUMPUR: AmBank Group dan Sabah Development Bank Bhd (SDB) menawarkan pembiayaan bernilai RM100 juta untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah dalam menghadapi kesan kewangan ekoran pandemik COVID-19.

Inisiatif ini merupakan sebahagian Skim Jaminan PKS Sabah, satu kemudahan pembiayaan, yang dirancang dengan objektif utama untuk menyediakan modal kerja, khusus kepada PKS di negeri tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata kemudahan itu akan disediakan pada suku pertama 2021, berasaskan tiba dahulu layan dahulu.

Beliau berkata melalui inisiatif bersama ini, AmBank dan SDB menawarkan pembiayaan sehingga RM1 juta untuk setiap peminjam.

AmBank akan menyediakan pembiayaan, sementara SDB akan menjamin sejumlah pembiayaan yang dikeluarkan.

“Kerjasama strategik di antara AmBank dengan SDB membuktikan komitmen bersama kami untuk memelihara dan menggalakkan pertumbuhan PKS,” katanya dalam sidang media pada majlis pemeteraian Memorandum Kerjasama di antara Ambank dengan SDB secara maya hari ini.

CEO SDB, Datuk Vincent Pung berkata pelancaran kemudahan ini tepat pada masanya bagi melengkapkan usaha kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menyokong sektor ekonomi yang sangat penting.

“Menerusi SDB yang bertindak sebagai penjamin, ini akan memudahkan akses PKS Sabah kepada pembiayaan.

“Ini tidak hanya membantu mengekalkan PKS yang menghadapi cabaran dalam menguruskan modal kerja mereka malah untuk PKS memanfaatkan peluang untuk berkembang semasa tempoh pandemik ini,” katanya.

Pung berkata PKS berperanan penting dalam pembangunan sosioekonomi negara, dari segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, di samping penciptaan pekerjaan serta membantu mengekalkan rantaian bekalan, sama ada dalam pengeluaran makanan, perkhidmatan, pembuatan dan lain lain.

AmBank telah mencapai 130,000 pelanggan individu dan perniagaan dalam menawarkan bantuan kewangan bernilai RM17 bilion.

Pembiayaan bernilai kira-kira RM2 bilion juga telah diluluskan untuk 2,000 PKS antaranya di bawah Kemudahan Bantuan Khas dan Pembiayaan PKS di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *