PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengalu-alu kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang namun menegaskan ia perlu diterjemah di peringkat akar umbi mulai sekarang.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, masih banyak perkara berkaitan kerjasama PH-GRS perlu direalisasikan terutamanya perkongsian pelantikan politik dan keseimbangan dalam pentadbiran awam.
“Saya mengalu-alukan kenyataan yang dikeluarkan oleh rakan saya saudara Datuk Armizan terkait dengan kerjasama GRS – Pakatan Harapan dan kerjasama ini sedang dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri.
“Bagaimanapun masih banyak perkara berkaitan kerjasama ini perlu direalisasikan terutamanya perkongsian pelantikan politik dan resolusi-resolusi daripada komponen Pakatan Harapan yang ingin melihat sokongan daripada kerajaan negeri…Ini semua memerlukan kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan sambutan Tahun Baharu Cina anjuran PCCI, di sini, hari ini.
Ewon berkata, setakat ini belum ada kerjasama “tulen” yang ketara diantara GRS-PH Sabah khususnya di peringkat akar umbi.
“Saya berterus terang, bagi kami di Pakatan Harapan Sabah, kami belum melihat kerjasama itu diterjemahkan di peringkat daerah dan akar umbi.
“Akar umbi inilah yang akan menilai sejauh mana keikhlasan kerjasama yang telah dimulakan sejak tahun lepas.
“Perkara ini saya serahkan kepada pimpinan Ketua Menteri dan kerajaan negeri termasuk dua wakil Pakatan Harapan dalam kabinet Sabah bagaimana menterjemahkan ini di peringkat akar umbi supaya kerjasama itu tulen, bukan hanya berlaku di peringkat atasan tetapi mesti diterjemahkan juga di peringkat bawahan,” katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau yakin dengan kerjasama PH-GRS, Ewon berkata: “kerjasama ini sedang berlangsung tetapi perlu diperkasakan lagi, ertinya keyakinan saya untuk menyokong Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) sudah bermula sejak saya mempertahankan beliau semasa krisis politik awal tahun lepas”.
“Itu adalah komitmen dan kesediaan saya untuk menyokong beliau tetapi ini mesti diterjemahkan kepada kerjasama sebenar di peringkat akar umbi,” katanya.
Mengenai kerjasma pada PRN akan datang, beliau mengalu-alukan kenyataan Datuk Armizan namun perlu ada perbincangan baru dan segar terkait pengagihan kerusi pilihan raya.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini sebagai Presiden UPKO yang duduk dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan, saya menginginkan satu perbincangan yang baru dan segar terkait dengan agihan kerusi pilihan raya nanti,” katanya.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau tidak bersetuju sekiranya parti berkenaan menganggap kerusi yang mereka menang atas tiket parti asal wakil rakyat berkenaan pada pilihan raya lalu milik parti itu.
“Tidak harus ada parti yang menganggap parti yang memenangi melalui wakil rakyat yang melompat. Saya tidak setuju kalau itu dianggap milik parti baru wakil rakyat tersebut.
“Pengagihan kerusi memerlukan satu penelitian dan perbincangan yang segar dan baru kerana pilihan raya pada 2020 sangat berbeza dengan apa yang ada ketika ini.
“UPKO mempunyai rakan gabungan yang berbeza pada masa itu, begitu juga dengan GRS yang mempunyai rakan gabungan yang berbeza. Jadi senario telah banyak berubah, sebab itu kita memerlukan perbincangan baru terutamanya berkaitan pengagihan kerusi PRN akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali yang mahu perpaduan sedia ada antara gabungan berkenaan dengan PH diteruskan dalam pilihan raya negeri akan datang.
Ahli Parlimen Papar itu dipetik sebagai berkata walaupun kepimpinan tertinggi GRS belum membuat sebarang perbincangan mengenai formula kerjasama dalam pilihan raya akan datang namun beliau mempunyai pendiriannya sendiri.
More Stories
Miliki petrol tanpa lesen,dua lelaki didenda RM10,000 dan RM6,000 seorang lagi dipenjara
Wisma Putra ambil maklum kehadiran kapal tentera laut asing di EEZ Malaysia
Tiga individu diserang memerang ketika berjoging