Oleh: Cyn & Al
TENOM, 3 Jun — Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Persekutuan melalui Memorandum Persefahaman Politik (MoU) telah banyak memberikan impak positif terutamanya dari segi kestabilan negara.
Menurut Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, antara impak terbesar yang telah dicapai melalui kerjasama tersebut ialah kejayaan menangani masalah COVID-19 yang melanda negara baru-baru ini.
“Kejayaan kita paling besar pada tahun ini ialah sekarang ini kita tidak lagi memakai pelitup muka.
“Ini membuktikan bahawa kita sudah mengorak langkah dalam mengatasi masalah pandemik COVID-19 ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Ramah Mesra Pesta Kaamatan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P181 Tenom Tahun 2022 di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom Tenom, hari ini.
Sementara itu, beliau turut menyatakan bahawa perundangan perlu diwujudkan untuk memastikan keadilan dan kestabilan negara.
“Untuk memperbaiki negara kita Malaysia, kita perlu wujudkan perundangan agar dapat memastikan adanya keadilan serta kestabilan dan inilah yang sedang diusahakan dalam MOU.
“Mudah-mudahan tidak lama lagi akan terhasilnya Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan di Parlimen,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai peranan pengundi wanita dalam politik.
“Wanita bukan sahaja menjadi pengundi tetapi juga memainkan peranan besar dalam membantu membasmi kemiskinan,” katanya.
More Stories
Keputusan SPM diumum 24 April
Lelaki tipu jual beli emas ditahan polis
Tamu Dongongon berwajah baharu apabila siap dinaik taraf April 2026