Kerjasama UMNO Sabah–PH Bakal Gagal, GRS–PH Lebih Realistik

Semakin hampir Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, semakin jelas bahawa Barisan Nasional (BN) – khususnya UMNO Sabah – masih bergelut dengan soal hala tuju, mesej politik, dan struktur kepimpinan.

Percaturan politik antara gabungan menjadi semakin jelas – dan yang paling menonjol ialah perbezaan antara retorik Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO Sabah, dan realiti politik semasa yang menggariskan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS)–Pakatan Harapan (PH) sebagai pilihan yang lebih stabil dan praktikal.

Kenyataan bercanggah antara kepimpinan UMNO negeri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, membayangkan kegagalan menyelaraskan strategi antara negeri dan pusat.

UMNO Sabah menerusi Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir, bukan sahaja mengumumkan hasrat untuk bertanding di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), malah mencadangkan Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebagai poster boy BN Sabah.

Namun kedua-dua kenyataan itu segera disanggah oleh Zahid. Beliau menyatakan bahawa terlalu awal untuk memutuskan agihan kerusi dan belum tiba masa untuk menentukan siapa calon poster boy bagi mana-mana negeri. Malah, Zahid turut mengarahkan agar UMNO Sabah merujuk kepada garis panduan yang telah diberikan oleh pusat.

Lebih menarik, seorang lagi tokoh kanan parti, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, sebelum itu turut memberikan teguran terbuka.

Beliau mengingatkan bahawa konsep autonomi dalam parti tidak boleh disalah tafsir sebagai lesen untuk seseorang individu membuat keputusan secara unilateral.

“Autonomi bukan bermakna satu orang saja membuat keputusan. Kalau seorang saja siok-siok membuat keputusan, itu bukan autonomi, itu autokrasi. Jadilah demokrat, bukan autokrat,” tegas Rahman dalam satu hantaran di Facebooknya.

Kenyataan ini cukup tajam – menggambarkan keresahan dalam kalangan pimpinan parti sendiri terhadap cara keputusan dibuat di peringkat negeri. Teguran ini juga memperkuat tanggapan bahawa UMNO Sabah sedang beroperasi tanpa konsensus yang kukuh.

Beberapa elemen penting menunjukkan kegagalan penyelarasan dalam UMNO:

  • Isu Agihan Kerusi: UMNO Sabah mendahului dengan angka, pusat minta tunggu rundingan.
  • Pengumuman Poster Boy: Dicadangkan di Sabah, ditegur di Kuala Lumpur.
  • Kritikan Dalaman Parti: Timbalan Pengerusi negeri sendiri menyindir gaya kepimpinan yang terlalu berpusatkan individu.

Hubungan Tidak Jelas dengan BN dan PH di negeri Sabah walaupun BN kekal sebagai pembangkang di Sabah meskipun bersama dalam kerajaan Persekutuan.

Dalam politik, kesepakatan mesej adalah separuh daripada kekuatan strategi. Bila mesej yang dihantar berbeza – lebih-lebih lagi secara terbuka – ia mencerminkan kekaburan dan ketidaksediaan.

Gabungan BN-PH di peringkat Persekutuan kelihatan stabil. Namun di Sabah, situasinya jauh lebih rumit. PH telah menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan GRS, sementara BN masih tercari-cari tempat dalam pakatan yang sedang terbentuk.

Bagi rakyat Sabah, yang penting bukan siapa dominan atau siapa menjadi poster boy – tetapi sejauh mana gabungan politik mampu menawarkan kestabilan, dasar mampan, dan pemimpin yang boleh diyakini. Jika BN-PH benar-benar mahu membentuk kerjasama strategik, maka penyelarasan mesej, kepimpinan dan pendekatan mesti disegerakan.

Kerjasama politik yang kukuh tidak boleh dibina atas dasar kenyataan bercanggah dan keputusan unilateral. Ia mesti bermula dengan mendengar suara semua – bukan seorang.

Penulis ialah pemerhati politik dan pengulas bebas. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian mana-mana pihak.