Kerjasama Yayasan WISDOM – MERITUS University beri peluang pelajar Sabah lanjut pengajian dengan biasiswa

Bagi merealisasikan hasrat menjadikan pendidikan untuk semua, Yayasan WISDOM bekerjasama dengan Halim Mazmin Group melalui inisiatif Program Biasiswa RM16,000 kepada 20 pelajar Sabah.

Pengerusi Eksekutif Yayasan WISDOM, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, kerjasama itu akan memanfaatkan keluarga yang menghadapi cabaran untuk menghantar anak-anak melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

“Kita tahu, ramai rakyat di wilayah ini mempunyai masalah kewangan untuk melanjutkan pengajian anak-anak di peringkat universiti.

“Justeru melalui inisiatif ini, sekurang-kurangnya dapat membantu golongan kurang berkemampuan atau B40 yang berkelayakan untuk menamatkan pendidikan dengan segulung ijazah,” katanya.

Madius

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Madius menghadiri Majlis Pelancaran Program Biasiswa Halim Mazmin Group yang diadakan secara maya dan turut dihadiri Pengarah Pengasasnya Tan Sri Halim Mazmin pada Khamis.

Menurut Madius, syarat bagi memohon biasiswa ini adalah mesti daripada golongan keluarga yang susah dan lahir di Sabah.

“Pemohon juga sekurang-kurangnya mempunyai lima kepujian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Dalam pada itu, Halim memaklumkan bantuan biasiswa RM16,000 tersebut bagi membolehkan pelajar mengikuti Program Asasi di MERITUS University, Kuala Lumpur.

“Selepas tamat program asasi, salah satu kriteria untuk kelulusan permohonan biasiswa ini ialah para pelajar hendaklah bersetuju mengikuti program sarjana muda di universiti ini.

“Sesungguhnya, di MERITUS University kita akan memastikan tiada seorang pelajar pun akan ketinggalan. Kita akan sentiasa memberi sokongan agar semua pelajar akan dapat menamatkan pengajian dengan jayanya,” ujar beliau yang juga pengasas universiti itu.

Ujar Halim, di Meritus mereka akan belajar pengetahuan akademik dalam bidang perniagaan maritim dan penghantaran, sains perniagaan, sains dan pembangunan selain terlibat dalam kemahiran hidup melalui khidmat masyarakat dan penglibatan sosial.

“Mereka juga mengikuti latihan industri (magang) dengan syarikat terkemuka industri serta didedahkan dengan pengalaman hands-on di mana pelajar dikehendaki belayar di kapal latihan papan yang dimiliki oleh Halim Mazmin Group,” jelasnya sambil memaklumkan peluang kerjaya yang luas selepas tamat pengajian.

Sebarang maklumat lanjut boleh melayari https://www.wisdomfoundation.org.my/programmes-hmgswf-meritus-university-july2021