Kes baharu positif COVID-19 di Sabah melepasi paras angka 5,000 semalam

KOTA KINABALU, 17 Feb – Kes baharu positif COVID-19 di Sabah mencatatkan jumlah 5,082 kes dan sembilan kes kematian semalam.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, satu daerah iaitu Kota Kinabalu mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 4 angka iaitu 1,086 kes.

Dalam pada itu, 12 daerah mencatatkan kes 3 angka iaitu Sandakan (500), Penampang (463), Tuaran (421), Papar (313), Tawau (310), Ranau (266), Lahad Datu (263), Putatan (222), Kota Marudu (216), Keningau (181), Beaufort (144) dan Kota Belud (137).

Sehubungan itu, terdapat dua kluster institusi pendidikan diisytiharkan iaitu Kluster Jalan Bandau (96 kes) di Kota Marudu yang melibatkan pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Marudu, dan Kluster Jalan Sokid (28 kes) di Ranau yang melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan Bundu Tuhan.

Daripada jumlah keseluruhan harian kes semalam, sebanyak 5,068 (99.72%) daripada 5,082 kes adalah dalam Kategori 1 dan 2, tiga kes dalam Kategori 3, sepuluh kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5.

Sementara itu, sejumlah 3,029 (59.60%) kes pula dikatakan berpunca daripada jangkitan sporadik dan dijangka jumlah tersebut akan berganda dengan lebih cepat dalam masa terdekat.