TAWAU: Seramai 13 pelajar lelaki yang berdepan pertuduhan membunuh seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu pada Mac lalu, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Semua tertuduh membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Duncan Sikodol.
Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh yang berusia 16 hingga 19 tahun itu didakwa bersama-sama menyebabkan kematian Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17.
Kejadian berlaku di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.
Berikutan itu, mereka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 24 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Sembilan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh, Amirul Amin Rashid dan Chen Wen Jye, seorang remaja diwakili peguam Abdul Ghani Zelika, manakala tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana.
Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan kes selama 10 hari yang bermula pada 18 hingga 22 November dan 25 hingga 29 November depan.
Pada prosiding hari ini, mahkamah dimaklumkan seramai 10 hingga 12 saksi pendakwaan akan dipanggil sepanjang perbicaraan itu nanti.
Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat Mohd Nazmie Aizzat di bilik asrama Kolej Vokasional Lahad Datu dengan kesan kecederaan di beberapa anggota badan pada 22 Mac lalu. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ