Kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu disebut semula 25 Julai

LAHAD DATU: Mahkamah Majistret Lahad Datu menetapkan 25 Julai depan sebagai tarikh baharu sebutan semula kes 13 remaja lelaki yang berdepan pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Kolej Vokasional Lahad Datu, di sini, pada Mac lalu.

Tertuduh berusia antara 16 hingga 19 tahun itu dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada kira-kira 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Prosiding di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani itu dijalankan secara tertutup kerana membabitkan pesalah di bawah umur.

Anggota keluarga mangsa dan media turut diperintahkan supaya tidak berada di dalam mahkamah ketika prosiding itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao, manakala lapan daripada 13 tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Chen Wen Jye dan Amirul Amin Rashid.

Seorang lagi tertuduh diwakili peguam Abdul Gani Zelika, manakala empat tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, Kamarudin ketika ditemui media berkata pihaknya telah memohon kepada Majistret Nur Asyraf supaya kes itu dipercepatkan memandangkan ia sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Tawau.

Bagaimanapun, katanya disebabkan laporan daripada Jabatan Kimia belum diperolehi, kes itu disebut semula pada 25 Julai depan. – Info X