KES COVID-19 TERBAHARU BABITKAN PELAJAR UNIVERSITI DI SABAH

KOTA KINABALU: Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Christina Rundi, berkata kes terbaharu positif Covid-19 di Sabah adalah membabitkan pelajar daripada universiti tempatan di negeri ini.

Beliau berkata, pelajar terbabit dikesan menerusi saringan dan sampel yang diambil berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Pergerakan Pelajar untuk Negeri Sabah yang dikendalikan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“SOP tersebut dibentuk untuk pengoperasian program khas ekoran kebenaran yang diberikan kepada pelajar di institusi pengajian untuk pulang ke daerah asal.

“Sejumlah 7,000 pelajar dianggarkan akan kembali ke tempat asal masing-masing.
Ini bermaksud pergerakan besar-besaran pelajar dari zon merah ke zon hijau dan kuning,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Christina berkata setakat ini, sejumlah 1,612 pelajar telah dihantar pulang ke Semenanjung Malaysia, Labuan dan Sarawak.

“Manakala, sejumlah 1,048 pelajar telah dihantar pulang ke daerah asal mereka di seluruh Sabah,” katanya.

Pada 11 Mei lalu, Sabah mencatatkan peningkatan mendadak sebanyak 10 kes dan dua daripadanya merupakan pelajar universiti yang balik dari semenanjung Malaysia.-http://beritasabah.com