Kes denggi di Sabah meningkat, ada 10 kes baru dikesan

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengesan 10 lagi kes baharu wabak denggi semalam menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 453 kes.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata Kota Belud (empat kes) mencatat kes baharu tertinggi, diikuti Pitas (tiga), Tawau (dua) dan Sandakan (satu).

“Keseluruhannya, Kota Kinabalu masih merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 154 kes, manakala kedua Tawau (91), seterusnya Semporna (39) dan Lahad Datu (27),” katanya.

Dr Christina berkata Tuaran dan Penampang mempunyai 16 kes, Kota Belud (15), Papar dan Putatan (13), Keningau (11), Pitas (sembilan) dan daerah lain kurang dari lima kes.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan bahawa setakat ini juga cuma terdapat dua daerah di negeri ini yang merekodkan sifar kes wabak denggi iaitu Tenom dan Beaufort.

“Situasi semasa wabak kolera sehingga 28 Mac pula mencatat 21 kes iaitu 19 simptomatik dan dua asimtomatik dengan kes tertinggi direkodkan Lahad Datu (14).

“Daerah lain yang turut mencatatkan kes wabak kolera adalah Kota Kinabalu (empat kes), Semporna (dua) dan Putatan (satu),” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai gejala mengalami wabak denggi dan kolera supaya segera menadpatkan rawatan di hospital berhampiran. – Utusan Borneo