KES TETAK BEAUFORT, SUSPEK DIPERCAYAI BERSEMBUNYI DI SARAWAK

KOTA KINABALU: Susulan kes tetak Beaufort, suspek utama dipercayai kini telah memasuki Sarawak untuk bersembunyi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, polis percaya suspek sudah melarikan diri pada malam kejadian.

“Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah sudah berhubung dengan IPK Sarawak bagi mengesan suspek yang dikenali sebagai Hobalan N Vello, 37, atau ‘Jimmy Black’ bersama seorang lagi rakannya, Kesavan Perambalam, 34.

“Pemeriksaan dengan pelbagai pihak termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Labuan mendapati tiada sebarang rekod suspek keluar daripada negeri ini. menyembunyikan diri,” katanya pada sidang media di IPK Sabah hari ini.

Hazani berkata, suspek berasal dari Semenanjung Malaysia sudah berkahwin dengan wanita tempatan dan mempunyai 5 orang anak hasil perkahwinan berkenaan.

Berdasarkan rekod katanya, suspek tidak lagi mempunyai sebarang kes siasatan jenayah sejak tahun 2008 hingga tarikh kejadian terbaru ini.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek bukan lagi Orang Dibawah Pengawasan Polis dan kali terakhir dikenakan pengawasan adalah pada 2008.

“Dalam mengendalikan kes ini, segala tindakan polis tidak menyebelahi mana-mana pihak malah polis sudah menahan isteri dan rakan suspek serta direman bagi membantu siasatan.

“Polis dengan sedaya upaya menggerakkan seluruh jentera dari pelbagai Jabatan dalam Polis Kontinjen Sabah dan Sarawak untuk mengesan dan menangkap suspek utama dalam kes ini,” katanya memohon semua pihak supaya bertenang dan memberi masa kepada polis menjalankan siasatan lanjut.

Hazani berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh dengn senjata dan menyebabkan kematian.

“Polis ingin menegaskan sekali lagi, kes ini tidak berkaitan dengan unsur perkauman atau gengsterisme dan semua pihak diminta tidak memainkan sentimen perkauman bagi menjamin keharmonian dan keselamatan masyarakat terjamin.

“Orang awam yang mempunyai maklumat juga amat dialu-alukan untuk membantu dalam mengesan suspek yang terbabit dengan menghubungi balai polis terdekat,” katanya.