KET KIUN TIDAK AKAN KHIANATI DAP

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun menegaskan tidak akan mengkhianati DAP meskipun ada pihak yang cuba menawarkan pelbagai ganjaran termasuk jawatan timbalan ketua menteri.

Menerusi kenyataannya hari ini, Ket Kiun menafikan khabar angin yang mendakwa beliau antara ADUN yang menerima tawaran untuk menukar parti.

Ket Kiun berkata, biarpun ditawarkan sejumlah besar wang dan jawatan, beliau tidak akan tergoda, sebaliknya akan terus mempertahankan pendirian untuk bersama parti DAP dan meneruskan fokus membantu rakyat.

“Saya sangat berterima kasih kepada mereka kerana merasa saya layak untuk diberi tawaran tersebut.

“(Jika terima tawaran) saya pasti dapat membawa lebih banyak dana dan pembangunan ke kawasan saya, tetapi jika dengan cara mengkhianati parti dan rakyat, saya minta maaf, saya tidak berminat,” katanya di sini, hari ini.

Ket Kiun berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu yang cuba memancing beliau untuk keluar parti sekali gus menjejaskan reputasi dan mengganggu kehidupan peribadinya.

“Saya tidak akan menyimpang daripada pendirian politik dan saya berharap mereka dapat berhenti daripada keinginan untuk memancing saya keluar parti dengan menawarkan ganjaran.

“Saya dengan ini menyatakan dengan tegas bahawa kedudukan saya, parti saya dan orang-orang tetap tidak berubah,” katanya.

Ket Kiun juga berharap rakyat agar memahami situasi politik ketika ini dan usaha wakil rakyat DAP untuk membawa pembangunan ke daerah ini.

“Banyak projek pembangunan yang kita usulkan tapi dengan perubahan kepimpinan kerajaan Persekutuan, bukan mudah diluluskan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *