Ketua Pemuda UPKO Penampang berhasrat terajui belia di Penampang

KOTA KINABALU, 18 Mei – Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Penampang baharu, Billy Joe Dominic, nekad ingin menerajui belia-belia khususnya di sekitar Penampang melalui penglibatannya dalam bidang politik.

Jelasnya, ini adalah kerana ramai yang menganggap belia-belia di Sabah masih jauh ketinggalan di belakang dalam pelbagai aspek berbanding dengan belia-belia di Semenanjung Malaysia.

“Saya ingin menyuarakan keperluan diperkasakan untuk para belia di Sabah dan diberi keutamaan istimewa dalam pendidikan, sosioekonomi, kebajikan dan sukan setara dengan rakan-rakan yang berada di Semenanjung Malaysia.

“Ini kerana belia di Sabah dilihat jauh ketinggalan di belakang berbanding dengan belia di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Berita Sabah, hari ini.

Billy dengan nama panggilannya Ebell, dilahirkan pada tahun 1984 di daerah Kota Kinabalu dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) St Joseph lalu meneruskan persekolahan menengah di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Peter Mojuntin.

Beliau seterusnya meneruskan pelajaran (Diploma) dalam jurusan Perbankan di Univerisiti Teknologi MARA (UiTM), Kota Kinabalu dan melanjutkan pelajaran (Sarjana Muda) dalam jurusan Sains Pentadbiran di universiti yang sama.

Penglibatannya dalam dunia politik bermula dengan parti UPKO pada tahun 2013 dengan jawatan awalnya iaitu Pegawai Penerangan Pemuda UPKO sehingga tahun 2018, dan seterusnya dilantik sebagai Setiausaha Pemuda UPKO Penampang pada tahun 2018 sehinggalah tahun ini.

Menurut Billy, beliau telah menyertai UPKO kerana tertarik dengan parti tersebut yang menampakkan semangat golongan muda yang bervisi untuk menjadi pemimpin.

“Pada pandangan saya, UPKO merupakan kilang pengeluar pemimpin baharu kerana setiap pilihanraya, banyak pemimpin muda yang diketengahkan sebagai calon. Bukan itu sahaja, ketua-ketua bahagian juga adalah dalam kalangan golongan muda,” katanya.

Setelah kejayaannya menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda UPKO Penampang baru-baru ini, beliau kini menjawat dua jawatan yang mana beliau juga merupakan Ketua Cawangan UPKO Kampung Dungkahang iaitu jawatan yang disandangnya sejak tahun 2013.

Mengimbas kembali titik permulaan penglibatannya dalam politik, beliau memberitahu bahawa inspirasinya untuk menceburi bidang politik bermula semasa sedang belajar di UiTM (Sarjana Muda) dan banyak berlakunya perbincangan berkenaan isu-isu politik di Sabah dan tanah air Malaysia pada ketika itu (tahun 2007).

“Saya menyedari tentang apa yang sedang berlaku kepada Sabah. Permasalahan Sosioekonomi terutamanya jurang kemiskinan dan infrastruktur awam di Sabah sangat daif dan jauh ketinggalan berbanding di Semenanjung.

“Saya mula meluahkan pandangan saya di Facebook serta platform yang lain seperti WhatsApp dan Twitter serta mengikuti forum mengenai hak-hak Sabah untuk menambahkan pengetahuan,” katanya.

Tambahnya, beliau turut terinspirasi memasuki bidang politik selepas rakan-rakannya mencadangkan untuk membaca salah satu buku yang bertajuk “The Golden Son of Kadazan” yang ditulis oleh Bernard Sta Maria.

“Setelah membaca buku tersebut, saya berasa terpanggil untuk terus bersuara mengenai layanan yang tidak adil kepada Sabah oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya

Selanjutnya, beliau berharap dapat memikul tanggungjawab selaku Ketua Pemuda UPKO Penampang dan memperjuangkan visi dan misi UPKO bersama ahli yang lain.