KIULU: Ketua Wanita Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kawasan Kiulu, Aini Balanting mengumumkan perletakkan jawatan dan keluar dari parti itu di sini kelmarin.
Pengumuman itu dibuat serentak dengan penyerahan borang untuk menyertai Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) dalam program ramah mesra rakyat bersama pemimpin di Kampung Kitapol Kiulu.
Aini berkata, keputusan itu diambil kerana beliau sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk kepimpinan Bersatu.
Di samping itu, ia atas kesedaran bahawa negeri Sabah perlu dipimpin oleh parti-parti tempatan untuk terus maju ke hadapan.
“Kita telah melihat negeri ini dipimpin oleh parti bukan tempatan selama lebih 20 tahun dan apa yang berlaku Sabah tersenarai sebagai antara negeri termiskin di Malaysia.
“Jadi saya melihat, kita perlu lakukan sesuatu. Saya fikir Sabah seharusnya dipimpin oleh parti-parti yang berpusat di dalam negeri kerana hanya dengan inilah, kita mampu memperjuangkan hak dan masa depan bumi Kinabalu ke arah hala tuju yang lebih progresif, berautonomi dan sejahtera.
“Maksudnya kita di Sabah boleh memutuskan sendiri apa juga keputusan yang perlu diambil berhubung urus tadbir dan hal ehwal negeri,” katanya.
Aini menyerahkan borang keahlian UPKO kepada Presidennya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Menurutnya, beliau menyertai UPKO kerana tertarik dengan pencapaian serta perjuangan UPKO yang jelas dan konsisten.
“Justeru, saya mengambil keputusan ini secara ikhlas dan sukarela tanpa paksaan, tekanan atau habuan daripada mana-mana pihak,” jelasnya.
Sementara Madius ketika ditemui turut mengalu-alukan Aini ke dalam keluarga UPKO.
“Sesungguhnya, kita sentiasa mengalu-alukan kehadiran semua pihak yang ikhlas menyertai UPKO. Sudah pasti kemasukan Aini ke dalam parti ini akan mengukuhkan lagi jentera pilihan raya UPKO di Kiulu khususnya dalam sayap pergerakan wanita,” katanya.-http://beritasabah.com

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius