Komplot undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir hanya khabar angin Mohamad

[ad_1]

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) — Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menyifatkan spekulasi wujudnya komplot untuk membawa undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sekadar khabar angin yang sengaja dimainkan oleh pembangkang.

Beliau berkata, usaha itu dibuat untuk mengalih pandangan rakyat terhadap pertuduhan dan siasatan terhadap segelintir pemimpin mereka serta krisis kepimpinan yang sedang membelit parti pembangkang berkenaan.

“Ingin ditegaskan bahawa tidak timbul langsung soal undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir dan usaha ini dibuat bagi menggugat kestabilan serta mengganggu fokus kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sedang bekerja keras untuk mensejahterakan hidup rakyat.

“Amanah dan parti komponen lain dalam PH sentiasa teguh di belakang Dr Mahathir dalam usaha melakukan reformasi menyeluruh dan menambah baik tadbir urus negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, paling penting kini, Amanah perlu bekerja keras untuk memastikan calon PH akan menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Beliau turut menyeru ahli di segenap peringkat untuk terus menumpukan kepada usaha mengembangkan dan menambah keanggotaan dalam parti.

— BERNAMA



[ad_2]