Oleh: Baby Nur Izzah Syahirah Jumatin, Graduan Komunikasi Tahun 2023
Kota Kinabalu: Konsep Malaysia Madani yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dijadikan sebagai prinsip utama dalam melaksanakan agenda pembangunan masyarakat dan pembinaan negara.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam ucapannya semasa sidang pertama Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-25 berkata, konsep tersebut merupakan tunjang kepada masyarakat Madani melalui integrasi sosial yang didasarkan pada suatu ikutan hidup, dan menghindarkan diri dari konflik yang mampu menyebabkan perpecahan.
“Walaupun Sabah mempunyai lebih 32 etnik, namun kita sudah sebati dengan nilai kekeluargaan yang majmuk, harmoni, keterbukaan dan kebersamaan dan jelas konsep ‘Keluarga Madani’ amat dekat dengan suasana kehidupan kita di Sabah.
“Ini menjadikan Sabah sebagai negeri contoh dalam mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat di Malaysia,” katanya.
Tun Juhar juga menyeru masyarakat berganding bahu untuk menghindarkan diri dari konflik bagi mengekalkan perpaduan, kestabilan, keamanan dan keharmonian hidup di negara kita.
Sementara itu, Tun Juhar yakin semua graduan yang bakal menerima skrol masing-masing dapat menjadi modal insan yang bijak dan mempunyai tanggungjawab untuk kemajuan diri, agama, bangsa dan negara.
“Saya ingin mengingatkan kepada para graduan agar mengamalkan etika kerja seperti rajin, menepati masa dan sebagainya.
“Hari ini, terutamanya di Sabah, mendapatkan pekerjaan pertama bukanlah satu tugas yang mudah.
“Kekosongan jawatan yang amat terhad ini menyebabkan persaingan antara graduan sangat kompetitif dan memerlukan seseorang calon itu dapat mengetengahkan kriteria yang bersesuaian dengan keperluan industri semasa,” jelasnya.
Tun Juhar yang juga Canselor UMS berkata, bakal pekerja mesti berpotensi untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan organisasi mereka dengan kualiti yang dicari termasuklah mempunyai motivasi dan etika kerja yang baik, disiplin serta mempunyai sifat integriti yang tinggi.
Untuk rekod, Majlis Konvokesyen UMS ke-25 kali ini meraikan seramai 4, 236 graduan sepanjang empat hari bermula 11 hingga 14 Disember 2023 dengan penerima Ijazah Doktor Falsafah seramai 106 orang dan Ijazah Sarjana seramai 307 orang pada sidang pertama yang berlangsung pagi tadi.
More Stories
Dua tahun tiada pengambilan, Madius minta KPM luluskan semua permohonan kemasukan PISMP Bahasa Kadazandusun
Hubungan baik ibu bapa dan guru teras kemenjadian murid
447,982 murid Tahun Satu terima bantuan awal mulai minggu ini