Kota Kinabalu : Kontinjen Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sabah menerima insentif kemenangan berjumlah lebih RM1.1 juta selepas berjaya membawa pulang 62 pingat emas pada temasya Para SUKMA di Sarawak September lalu.
Pasukan Para Olahraga menjadi menerima insentif tertinggi dengan jumlah sebanyak RM595,500 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di sini petang tadi.
Pada temasya itu, seramai lapan atlet Para Olahraga telah berjaya memecahkan rekod kejohanan.
Pasukan Para Renang menjadi pasukan kedua tertinggi menerima insentif kemenangan berjumlah RM304,500 dan seramai lima atlet bagi sukan itu turut memecahkan rekod kebangsaan dan rekod kejohanan.
Turut menerima insentif Para SUKMA adalah pasukan Ping Pong berjumlah RM99,000; Memanah (RM46,000); Tenpin Boling (RM32,000); Badminton (RM25,500); dan Para Lawn Bowl sebanyak RM18,000.
Selain itu, pasukan Para Boccia turut menerima insentif kemenangan berjumlah RM12,000 dan Para Powerlifting menerima insentif sebanyak RM12,000.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada atlet yang telah mewakili negeri Sabah pada temasya SUKMA dan Para SUKMA di Sarawak baru-baru ini.
Beliau turut tidak melupakan kesemua jurulatih dan pengurus-pengurus pasukan yang telah mengorbankan masa dan tenaga demi menjaga kebajikan atlet masing-masing selama hampir dua tahun sebelum menghadapi SUKMA dan Para SUKMA lalu.
“Atas keprihatinan ini, insentif sebanyak RM245,000 diberikan kepada jurulatih-jurulatih dan pengurus-pengurus pasukan SUKMA dan sebanyak RM250,500 diberikan kepada jurulatih-jurulatih dan pengurus-pengurus pasukan Para SUKMA.
“Saya juga mengucapkan tahniah kepada atlet renang yang berasal dari daerah Sandakan iaitu Shahafiq Abdullah kerana telah dipilih sebagai pemenang anugerah Atlet Lelaki Terbaik Para SUKMA Edisi Ke-21, 2024 selepas membawa pulang empat pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa.
“Lebih membanggakan lagi, keempat-empat pingat emas yang dimenangi beliau itu merupakan catatan rekod baharu kebangssan. Dengan kejayaan itu, Shahafiq akan menerima insentif tambahan untuk anugerah ini iaitu sebanyak RM10,000,” katanya. – SABAH MEDIA
More Stories
Projek Menaik Taraf Jalan Bulatan Berungis -Bulatan Mengkabong di peringkat akhir penyediaan rekabentuk: KKR
Bantuan Kewangan RM6.2 juta Kepada Sekolah Dan Badan Keagamaan Bukan Islam Bagi Zon Pedalaman Bawah
Sabah berdepan risiko gangguan elektrik menyeluruh mulai Januari 2025