Kontraktor punca air paip bertukar ‘milo’ di sekitar Rampayan, Inanam Laut

KOTA KINABALU: Kerja penyambungan paip transmisi yang dilakukan kontraktor di Manggatal dikenal pasti punca bekalan air di sekitar Rampayan dan Inanam Laut, dekat sini menjadi keruh dan berbau.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata kerja penyambungan paip itu dilakukan pihak kontraktor pada 23 Februari lalu.

Katanya, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menerima aduan berhubung masalah itu sebelum mengenal pasti punca dan mengambil tindakan pemulihan.

“Tindakan kadar segera yang telah dilakukan oleh pihak JANS adalah dengan membuat pembuangan air (flushing) pada transmisi utama sepanjang kawasan yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata, pihak JANS juga sedang menyiasat perkara itu bagi mengenal pasti sekiranya berlaku kecuaian di pihak kontraktok.

Katanya, tindakan undang-undang akan diambil jika kontraktor terbabit melakukan kecuaian.

Sementara itu, masalah sama yang dilaporkan berlaku di Melinsung Apartment, Papar katanya berpunca daripada tangki milik taman perumahan itu yang tidak pernah dibersihkan sejak apartment itu mula beroperasi.

“Kerja-kerja pembersihan tangki adalah tanggungjawab pihak pengurusan  apartment tersebut. Air menjadi keruh akibat gangguan mendapan apabila masuk ke rumah penghuni semasa air dipam masuk ke dalam tangki.

“JANS masih menanti laporan pembersihan tangki daripada pihak pengurusan Melinsung Apartment. Kompaun akan dikeluarkan sekiranya didapati belum ada kerja-kerja pembersihan dilakukan,” katanya.

Mengenai masalah bekalan air di Papar, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata ia berpunca daripada masalah air masin yang menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau.

“Operasi LRA Limbahau terpaksa dihentikan buat seketika disebabkan krisis air masin yang masuk ke permukaan intake loji menyebabkan keadaan air mentah tidak dapat diproses untuk diasalurkan kepada pengguna.

“Bagi kawasan terjejas disebabkan krisis air masin di Sungai Papar tersebut, pihak JANS Daerah Papar dalam usaha berterusan membuat penghantaran air ke kawasan yang terjejas.

“Selain itu, air dari LRA Kogopon juga disalurkan ke kawasan terjejas namun terdapat beberapa kawasan yang mengalami tekanan air rendah menjadikannya agak sukar untuk disalurkan,