KPDNHEP GARIS KAEDAH BAHARU TANGANI PENYELUDUPAN BARANG KAWALAN BERSUBSIDI

Pegawai Kanan KPDNHEP Dan PPM Yang Menghadiri Mesyuarat Bilateral Di Tawau Pada Hari Sabtu

TAWAU, 7 Sept — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menggariskan kaedah baharu yang lebih berkesan bagi menangani isu penyeludupan barang kawalan bersubsidi khususnya gas cecair petroleum (LPG) di negara ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata setakat ini sistem sedia ada organisasi, masih tidak berjaya mengekang aktiviti penyeludupan yang berada di tahap serius khususnya di Tawau.

“Kita memerlukan kaedah lain yang lebih rapi, misalnya berkaitan pemantauan kerap, penambahan aset serta anggota, selain bekerjasama dengan penguatkuasa lain termasuk Pasukan Polis Marin (PPM).

“Setakat ini, untuk kaedah terbaharu kita dalam proses fikiran dan berbincang, bagaimana supaya penyeludupan LPG ini (negara jiran) dapat dibanteras dan penduduk di Pulau Sebatik, Malaysia tidak terjejas bekalannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Bilateral bersama PPM yang dihadiri Komander PPM Malaysia, SAC Mohd Yusoff Mamat di sini, kelmarin..

Iskandar berkata pihaknya juga dalam perancangan untuk menambah aset serta petugas sokongan bagi mengukuhkan penguatkuasaan di Tawau.

Beliau berkata, mesyuarat hari ini membincangkan kerjasama antara KPDNHEP dengan PPM dalam penyusunan kerja dan penguatkuasaan undang-undang terutama berkaitan barang kawalan dan bersubsidi

“Melalui mesyuarat hari ini, kita dapat merancang dan memastikan kerjasama dua agensi (KPDNHEP, PPM) sejak 2017dapat ditingkatkan, sekaligus menangani banyak isu dan menghasilkan kejayaan dalam tangkapan serta rampasan di seluruh negara,” katanya.

Menurut Iskandar, antara kejayaan yang dicapai bersama PPM tahun lalu membabitkan rampasan RM7.5 juta dengan 420 kes kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Bagi tahun 2019 sehingga Julai ini, sebanyak RM19.13 juta rampasan dicatatkan dengan 367 kertas siasatan dibuka,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, PPM bersedia dalam membantu agensi penguatkuasa lain bagi menangani jenayah rentas sempadan berkaitan penyeludupan.