KOTA KINABALU, 10 Mac – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melantik guru interim Bahasa Inggeris (BI) yang tamat tempoh kontrak pada bulan depan kepada jawatan tetap sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.
Menurut kenyataan KPM, guru interim BI yang dilantik pada 22 April 2019 dan akan tamat tempoh lantikan pada 21 April 2022 serta memenuhi syarat Common European Framework of Reference (CEFR) C1 dan lulus temuduga akan dilantik tetap sebagai PPP Gred DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
“Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menetapkan bahawa setiap murid yang melalui sistem pendidikan di Malaysia perlu mahir dan fasih berbahasa Melayu serta mahir berbahasa Inggeris pada tahap “independent proficiency” seperti yang ditakrifkan oleh CEFR.” jelas kenyataan itu semalam.
Selain itu, urusan pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) baharu bagi opsyen BI perlu mengambil kira penguasaan BI calon pada tahap proficient, iaitu tahap CEFR C1 mulai tahun 2022.
Sementara itu, bagi guru interim BI yang akan tamat tempoh lantikan interim pada 21 April 2022 tetapi tidak memenuhi syarat CEFR C1, mereka akan turut ditemu duga untuk tujuan lantikan tetap sebagai PPP Gred DG41 oleh SPP dalam masa terdekat.
“Mereka perlu mencapai tahap CEFR C1 dalam tempoh percubaan, iaitu satu hingga tiga tahun bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan.” ulasnya lagi.
Sehubungan itu, KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kompetensi guru BI bagi memberi impak kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah secara langsung dapat meningkatkan tahap penguasaan murid dalam BI seperti yang diaspirasikan berdasarkan piawaian antarabangsa CEFR.

More Stories
Pengurusan makanan dan amalan pengilangan baik penentu kualiti industri makanan negara
Ceramah ‘Seronoknya Kimia’ perkasa pemahaman STEM dalam kalangan masyarakat
UMS perkasa pembelajaran STEM melalui program Living Lab @ Pantai Dalit