TAWAU: Seramai 2,416 pasangan warga Indonesia yang bekerja di Pantai Timur Sabah mendaftar perkahwinan melalui Sidang Itsbat Nikah anjuran Konsulat Republik Indonesia (KRI) di sini, sejak tahun 2012 sehingga tahun ini.
Konsul KRI Tawau, Sulistijo Djati Ismojo berkata meskipun pernikahan pasangan itu sah dari segi agama tetapi pasangan berkenaan perlu juga mendaftar nikah untuk pengeluaran buku nikah yang akan memudahkan pelbagai urusan termasuk pemberian dokumen surat lahir kepada anak-anak mereka.
“Program Itsbat Nikah ini mengutamakan pasangan yang sudah bernikah (di Malaysia) sebelum tahun 2014 dan sudah memiliki anak,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Itsbat Nikah 302 pasangan di sini, hari ini.
Mengikut statistik terkumpul KRI di Tawau, terdapat kira-kira 150,000 Warganegara Indonesia (WNI) yang bekerja di pantai timur Sabah serta sudah berkahwin namun masih belum memiliki buku nikah ekoran kahwin kampung (berkahwin di ladang-ladang).
“Sebab itu pelaksanaan Itsbat Nikah ini diadakan kerana ianya salah satu tugas utama Perwakilan Republik Indonesia di luar negeri dalam bidang perlindungan menjaga kebajikan rakyat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar pasangan baharu bernikah supaya kembali ke kampung halaman atau kawasan terdekat seperti Nunukan bagi mendaftar pernikahan mereka sekali gus mendapatkan sijil nikah.
Beliau berkata pihaknya percaya masih ramai pasangan warga Indonesia yang telah bernikah di kawasan ini namun belum melaporkan pernikahan sebagaimana disyaratkan.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ