KOTA KINABALU: Letusan semula Gunung Berapi Ruang di Sulawesi Utara, Indonesia pada 4.40 pagi, 30 April lalu, tidak menjejaskan kualiti udara di Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata asap debu letusan tidak memberi kesan ketara kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di semua stesen pengawasan kualiti udara di Malaysia.
“Tiada peningkatan bacaan pencemar pepejal terampai (PM2.5 dan PM10), sulfur Dioksida (SO2), Nitrogen Dioksida (NO2), Ozon (O3) dan Karbon Monoksida (CO) yang berpunca daripada asap debu letusan direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya JAS akan terus memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa, manakala orang ramai boleh merujuk bacaan IPU terkini setiap jam di http://apims.doe.gov.my/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyIPU di ‘Google Play’.
Jabatan Meteorologi sebelum ini mengeluarkan amaran penerbangan terutama di ruang udara Sabah, Sarawak dan Labuan berikutan kebimbangan merebaknya debu daripada letusan gunung berapi berkenaan.
Amaran itu berkuatkuasa hingga 5 Mei ini, namun setakat semalam tiada penutupan ruang udara atau lapangan terbang dilakukan seperti dijelaskan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), semalam.
Bagaimanapun, CAAM dilaporkan berkata ketinggian penerbangan pesawat dihadkan kepada 35,000 kaki memandangkan kepulan asap akibat letusan Gunung Ruang berada pada ketinggian antara 45,000 kaki hingga 63,000 kaki. -info x

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ