Kualiti udara tidak sihat di Politeknik Kota Kinabalu, Kimanis

KOTA KINABALU: Dua kawasan di Sabah iaitu Politeknik, di sini, dan Kimanis merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat setakat jam 10 pagi ini.

Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (Apims) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Politeknik Kota Kinabalu dan Kimanis masing-masing mencatatkan bacaan IPU 113 dan 115.

Terdahulu semalam, asap tebal menyelubungi tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok, di sini, selepas kawasan longgokan tayar di kawasan itu terbakar.

Kebakaran turut membabitkan sampah dan menyebabkan asap tebal yang menjulang tinggi dapat dilihat dari pusat bandar raya dan sekitarnya.

Kebakaran di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, di Telipok, menyebabkan kepulan asap hitam tebal.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.19 petang.

Katanya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu yang tiba di lokasi pada jam 4.45 petang untuk menjalankan operasi mengawal dan memadam kebakaran.

“Kebakaran membabitkan kawasan tapak pelupusan sampah berkeluasan 0.809 haktar.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran daripada tangki jentera,” katanya dalam kenyataan media, semalam. – Info X