KUSKOP laksana amanah, jayakan Belanjawan MADANI 2025 dengan tatakelola cemerlang -Ewon

BUTTERWORTH: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya akan melaksanakan amanah untuk menjayakan Belanjawan MADANI 2025 dengan tatakelola cemerlang.

 

Beliau berkata, ini termasuklah menjayakan Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 yang telah diluncurkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami di kementerian dan semua warga KUSKOP serta agensi-agensi akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan untuk merealisasikan Belanjawan MADANI 2025 mengikut tatakelola yang cemerlang.

“Kementerian juga menyokong segala hasrat Gabungan Persatuan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara yang juga telah memberikan pandangan dan cadangan dalam Belanjawan 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2024, di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena, Pulau Pinang, di sini, hari ini. Karnival itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan kerana terus menyalurkan sejumlah peruntukan kepada kementeriannya untuk meneruskan program pembangunan Tamu Desa.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana terus menyalurkan peruntukan untuk membina dan menaiktaraf gerai-gerai dan tamu-tamu komuniti di luar bandar dan pekan kecil terutamanya di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Katanya lagi, KUSKOP juga berhasrat agar satu peruntukan khusus disediakan untuk memberi pengiktirafan kepada penjaja dan peniaga kecil melalui sambutan HPPK setiap tahun.

“Saya berharap sambutan HPPK yang diadakan setiap tahun akan terus menjadi sebahagian daripada aktiviti ekonomi dan keusahawanan di negara kita.

“Sambutan ini bukan sekadar pengiktirafan kepada penjaja dan peniaga kecil tetapi satu ruang untuk pihak kerajaan terutama KUSKOP menjiwai dan mencaknai keperluan serta isu-isu yang dihadapi oleh komuniti penjaja,” katanya.

Ewon berkata, penjaja dan peniaga kecil harus berbangga kerana menjadi sebahagian daripada komuniti PMKS yang telah menyumbang kepada 39.1 peratus keluaran dalan negara kasar (KDNK) pada tahun 2023 dan menyumbang kepada 48 peratus tenaga kerja di negara ini

Sementara itu dalam acara berasingan, Ewon menyaksikan upacara menandatangan perjanjian persefahaman (MoU) diantara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Gabungan Persatuan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM). Pada majlis yang sama beliau turut meluncurkan Beras MyPenjaja.

“Kerajaan mengalu-alukan inisiatif seperti ini (MyPenjaja) dan MoU yang dilaksanakan oleh gabungan penjaja. Mudah-mudahan ianya dapat memberi manfaat bukan hanya kepada ahli-ahlinya tetapi juga kepada para pengguna secara keseluruhannya,” katanya.