Laki bini cedera kena samun di Putatan dekat futsal

Sepasang suami isteri cedera selepas disamun dua lelaki ketika sedang berehat di dalam kereta berhampiran gelanggang futsal, Putatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, suami isteri berusia lingkungan 30 tahun terbabit dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah.

Bagaimanapun, pasangan terbabit berhenti ditepi jalan untuk berehat kerana dikatakan masih dibawah pengarah alkohol.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ketika sedang berehat, pasang itu didatangi dua lelaki menaiki motosikal.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit kemudiannya bertindak memecahkan tingkap kereta menggunakan sebatang besi panjang.

“Ketika itu berlaku pergelutan sebelum suspek memukul mangsa dengan senjata tajam di bahagian kepala manakala isterinya pula cedera didahi dan lutut akibat ditarik keluar oleh suspek.

“Kedua-dua suspek terus melarikan diri bersama beg duit berisi wang tunai milik mangsa selepas menyedari terdapat kenderaan lain melalui lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, pasangan suami isteri kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) menggunakan ambulans.

“Siasatan diteruskan untuk mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) samun berkawan bersenjata,” katanya. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *