Langgar SOP PKP, satu bot kargo kena tahan di Tawau

Sebuah bot kargo tempatan ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP), di sini kelmarin

Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, bot tersebut didapati beroperasi melebihi waktu dibenarkan di kedudukan sekitar 1.1 batu nautika tenggara Kuala Sungai Tawau.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata pihaknya mengesan bot tersebut dalam keadaan mencurigakan sedang bergerak menuju ke Pulau Sebatik.

“Pemeriksaan awal  mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 48 tahun dan membawa barangan runcit. 

“Sebaik pemeriksaan lesen dibuat mendapati lelaki terbabit bukan juragan yang berdaftar seperti tercatat pada lesen bot,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Siva berkata, pihaknya menahan bot tersebut kerana beroperasi di luar waktu dibenarkan iaitu 6 pagi hingga 2 petang sahaja.

“Suspek juga turut disyaki  telah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Dermaga Sabah 2002,”katanya

Menurutnya, sehingga penghujung April 2021, Zon Maritim Tawau telah merekodkan 23 kes bersabit Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 .

“Selain itu, Zon Maritim Tawau turut merekodkan empat kes perlanggaran SOP PKP di laut dan kesemua kes diserahkan kepada IPD Tawau untuk tindakan undang-undang.  – Utusan Borneo