Langgar syarat lesen, dua bot dirampas, 11 nelayan ditahan di Sandakan

SANDAKAN: Seramai 11 nelayan ditahan dan dua bot nelayan tempatan dirampas selepas didapati melanggar syarat sah lesen dalam dua kes berasingan di sekitar perairan daerah ini hingga Kinabatangan, semalam.

Semua tangkapan dilakukan oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi Op Khas Cegah Pati/Op Pluto Timur dan Op Tiris yang dijalankan di perairan berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, kes pertama membabitkan bot nelayan tempatan di perairan Tanjung Layar-layar Sandakan, pada jam 8 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan, bot berkenaan didapati melanggar syarat sah lesen mengikut Akta Perikanan 1985.

Menurutnya, bot berkenaan didapati menggunakan lampu pengumpul ikan yang dilabuhkan ke dasar untuk menangkap ikan dalam jarak kurang daripada 12 batu nautika dari tanah besar.

“Sembilan individu ditahan iaitu seorang tekong warga tempatan dan lapan anak kapal bukan warganegara dengan pelbagai dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Pelbagai peralatan dan bahan bukti dirampas, termasuk bot nelayan, lampu pengumpul ikan, lesen perikanan dan hasil laut yang dianggarkan seberat 100 kilogram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam kes berasingan, katanya, sebuah lagi bot nelayan dikesan sedang menarik pukat tunda di luar kawasan yang dibenarkan di perairan Kinabatangan Kecil pada jam 12.28 tengah hari.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua orang di atas bot berkenaan iaitu masing-masing warga tempatan dan warga asing.

“Barang rampasan termasuk pukat tunda, papan tunda, Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), serta hasil laut berupa ikan dan udang telah disita,” katanya.

Muhamad Suhairy berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Semua yang ditahan serta barang rampasan di bawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” Katanya.

Menurutnya, operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan APMM bagi mengekang aktiviti perikanan haram yang sering melanggar peraturan dan melibatkan penggunaan peralatan yang tidak sah, serta memastikan semua individu yang terlibat mematuhi undang-undang imigresen negara.

“Komuniti maritim diingat supaya sentiasa bekerjasama dengan Maritim Malaysia dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang atau kecemasan di laut.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian atau talian kecemasan 999,” katanya. – Info X