LANGGAR SYARAT LESEN, NELAYAN PUKAT TUNDA DITAHAN

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu menahan sebuah bot nelayan jenis pukat tunda dalam satu operasi “Op Benteng Covid” di kawasan perairan Sungai Meruap, Tambisan, di sini, kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, ketika ditahan kira-kira pukul 9.00 pagi, bot nelayan berkenaan didapati melanggar syarat lesen perikanan dengan menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

“PPM menemui pelbagai jenis ikan yang dianggarkan seberat 30 kilogram.

“Untuk makluman, PPM tidak akan berkompromi terhadap kesalahan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda di persisiran pantai atau di sungai kerana ia sangat berbahaya kepada nelayan-nelayan kecil dan juga menjejaskan ekosistem ikan serta batu karang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Gan berkata, rampasan kali ini membabitkan ikan hasil tangkapan, kapal pukat tunda dan peralatan kapal dianggarkan keseluruhan bernilai RM 75,900.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke jeti Martek PPM Pulau Tambisan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen,” katanya.