KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri perlu menuntut kepada Kerajaan Persekutuan melanjutkan moratorium sekurang-kurangnya tempoh enam bulan lagi.
Saranan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick bagi mengurangkan bebanan rakyat Sabah yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurut beliau, pelanjutan moratorium amat diperlukan rakyat pada ketika ini, terutamanya yang kehilangan pekerjaan, sumber pendapatan dan pengusaha perniagaan.
“Mereka yang kehilangan punca pendapatan sedang berhadapan dengan kesukaran membayar semula pinjaman bank. Justeru, saya mencadangkan agar moratorium dilanjutkan.
“Di bandar dan pekan, begitu banyak pengusaha perniagaan terjejas seperti tidak dapat beroperasi secara konsisten dan ada yang terpaksa berhenti berniaga tetapi pemilik bangunan kedai masih mahu mengutip sewa daripada mereka. Mereka juga perlukan bantuan,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini. – https://beritasabah.com

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ