LAPORAN POLIS TERHADAP BEKAS KPN

Oleh Wartawan BS
2 Februari 2020

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan susulan kenyataan beliau yang mendakwa Parti Tindakan Demokratik ingin menghidupkan semula puak komunis di negara ini.

Vivian yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sandakan membuat laporan itu kira-kira jam 3 petang di Balai Polis Bandar Sandakan, kelmarin.

Vivian berkata, kenyataan fitnah Musa itu dikeluarkan sewaktu beliau memberi syarahan di Institute of Business Excellence (IBE), Universiti Teknologi MARA (UITM), Shah Alam, Selangor, pada 30 Januari lalu.

Menerusi Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri? itu, Vivian mendakwa syarahan itu seolah-olah membangkitkan fakta bahawa Parti Tindakan Demokratik disokong oleh PKM menyebabkan kejadian 13 MEI pada tahun 1969.

Dakwa Vivian lagi, video yang dipaparkan di laman Facebook media rasmi UITM turut menuduh Parti Tindakan Demokratik hendak menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.

“Ini adalah jelas sebuah kenyataan yang berniat jahat yang ingin menjejaskan imej DAP selaku sebuah parti politik pemerintah dan mencetuskan kacau bilau antara masyarakat.

“Kenyataan ini juga adalah fitnah atas niat untuk menjejaskan reputasi nama parti DAP,” katanya.

Vivian juga mahu pihak polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap beliau demi keharmonian masyarakat di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *