Larangan pamer produk rokok di kaunter mulai 1 April

PUTRAJAYA: Larangan pameran produk merokok di kaunter jualan di bawah Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024 bakal dikuatkuasa bermula 1 April depan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataannya berkata, perintah larangan itu akan melibatkan lebih 51,000 kedai yang menjual produk merokok di seluruh negara.

Katanya, ia susulan kepada penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] bersama-sama peraturan dan perintah berkaitan sejak 1 Oktober tahun lalu.

“Sejak penguatkuasaan Akta ini, kementerian sentiasa memastikan setiap peraturan dipatuhi mengikut tempoh yang ditetapkan, termasuklah dengan penguatkuasaan pendidikan dan advokasi secara berterusan.

“Bagi memastikan pematuhan terhadap kawalan yang ditetapkan, KKM telah menetapkan pendekatan penguatkuasaan secara berfasa yang berhemah, berhikmah dan berkesan,” katanya pada Isnin.

Menurutnya, mengambil kira keberkesanan dan praktikaliti pelaksanaan di beberapa negara lain.

“Kaedah yang dianggap paling sesuai bagi pelaksanaan larangan pameran ini adalah dengan menyediakan almari bertutup berbanding penggunaan kain atau kanvas.

“Perkara ini sangat penting bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan yang boleh memberi ruang kepada aktiviti promosi secara tidak langsung yang bertentangan dengan semangat dan maksud larangan pameran berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, KKM akan terus bekerjasama dengan pekedai untuk memastikan pemasangan almari bertutup dibuat mengikut spesifikasi dan pematuhannya dipantau rapat dari semasa ke semasa.

“Proses ini dijangka selesai sepenuhnya menjelang 1 Oktober tahun ini,” katanya.