Sekurang-kurangnya 33 rumah di perkampungan atas air, Kampung Tanjung Aru, di sini, musnah dalam kebakaran, tengah malam tadi.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, beberapa penduduk cuba membantu memadam kebakaran namun api marak terlalu cepat disebabkan struktur rumah berasaskan kayu serta faktor angin.
Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jemros Olin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.01 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 32 anggota dan pegawai bersama lima jentera dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, api didapati sedang marak dan operasi memadam kebakaran segera dilakukan bagi mengawal daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.
“Api berjaya dikawal selang 30 minit kemudian dan berdasarkan maklumat awal, hanya 25 rumah musnah dan pasukan bomba berjaya menyelamat 986 rumah lain di kawasan perkampungan atas air berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, keadaan laluan ke lokasi serta tekanan air yang rendah menyukarkan operasi pemadaman dijalankan.
“Laluan di lokasi kejadian sempit selain kebanyakan jambatan kayu yang menghubungkan antara rumah juga sudah musnah terbakar.
“Ini menyukarkan pasukan bomba untuk masuk ke dalam bagi memadam api selain tekanan air agak rendah sehingga memerlukan jentera lori tangki untuk operasi memadam api,” katanya.
Jemros berkata, setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Operasi pemadaman kebakaran turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Asia Times

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ