PENDANG, KEDAH – Lebih 7.36 juta rakyat Malaysia membabitkan 35 peratus penduduk negara ini sudah mengemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sejak dilancarkan pada 2 Januari lalu sehingga semalam.
Memetik sumber Bernama, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pihaknya optimis lebih ramai yang belum mendaftar atau mengemas kini data akan berbuat demikian dalam beberapa hari terakhir sebelum 31 Mac ini, berikutan tahap kesedaran semakin meningkat.
“Kita menjangka peningkatan yang ketara. Sehingga semalam, sebanyak 7.36 juta sudah kemas kini iaitu mencecah lebih 35 peratus daripada mereka yang berumur 18 tahun ke atas yang kita anggarkan terdapat sekitar 20 juta rakyat Malaysia dalam kumpulan umur itu.
“DARIPADA 7.36 JUTA ITU, MENUNJUKKAN DATA TERMASUK TANGGUNGAN BAWAH 18 TAHUN JUGA. OLEH ITU, JUMLAH SEBENAR MELEBIHI 10 JUTA JIKA KITA MENGAMBIL KIRA SEMUA TANGGUNGAN,” KATANYA PADA PROGRAM JELAJAH PADU KOMUNITI SIAM DI KAMPUNG TOK SET, DI SINI, SEMALAM.
Hampir 100 masyarakat Siam di kampung berkenaan berjaya melakukan pendaftaran PADU dengan dibantu kakitangan Jabatan Perangkaan (DOSM) yang memudahkan proses pendaftaran dan semakan.
Mohd Uzir berkata, selain hebahan menerusi media massa dan media rasmi kerajaan serta di media sosial, pihaknya juga turun ke kawasan kampung bagi menerangkan kepada penduduk yang masih kurang jelas dan faham mengenai PADU.
“Apa pun kami menjangka dan bersedia untuk kemasukan besar-besaran ini. Sebagai contoh, semalam, kami merekodkan lebih 300,000 pendaftaran dalam sehari dan menjangka pendaftaran akan mencecah hingga 800,000,” katanya.
Beliau berkata, DOSM juga akan membuka lebih banyak kaunter fizikal bagi memberi kemudahan kepada orang ramai mendaftar supaya tidak berlaku kesilapan. -SABAH NEWS

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ