Lelaki dera anak di Tawau sudah kena tahan

Lelaki yang disyaki mendera dua anaknya berjaya ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Andung, Jalan Kabogan Semporna kira-kira jam 7 pagi semalam.

Terdahulu, tular dua video berdurasi 26 dan 16 saat yang memaparkan suspek memijak dua anaknya sambil memegang sebilah pisau di kawasan perumahan pekerja di Ulu Balung.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut daripada Polis Bantuan di Ladang Giram Ulu Balung pada jam 11.26 pagi, kelmarin.

“Setelah meneliti kandungan video tersebut, pasukan Pegawai Penyiasat kemudiannya menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan suspek berumur dalam lingkungan 20-an warga asing itu berjaya ditangkap oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Semporna,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang mediannya, di IPD Tawau, di sini semalam.

Menurut Peter, motif kejadian dipercayai berlaku krisis dalam rumah tangga suspek bersama isterinya sebelum ini.

“Suspek bertindak mengugut dengan cara mendera dua anak mereka supaya isterinya segera pulang ke rumah,”katanya.

Peter berkata, suspek ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut manakala kedua-dua mangsa akan dirujuk ke Hospital Tawau bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit serta sebilah pisau berukuran 31 sentemeter, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998,”katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *