Seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ditahan polis selepas bertindak menceroboh masuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, lelaki terbabit yang menaiki Proton Wira bersama isterinya dikatakan meluru masuk ke pekarangan IPD Ranau termasuk merempuh papan tanda di pondok pengawal.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati, suspek memberhentikan kenderaan di hadapan pintu masuk utama bangunan IPD berkenaan.
Katanya, suspek kemudiannya keluar dari kereta sebelum bertindak memecahkan pintu kaca IPD menggunakan tong sampah.
“Suspek terus ditahan anggota polis yang bertugas sebelum dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk siasatan.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati pemandu lelaki terbabit positif dadah jenis methaphetamine manakala isterinya pula bebas dadah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Simiun berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku disebabkan suspek lelaki yang ditahan dipercayai dibawah pengaruh dadah.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya. – Asia Times

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ