Lelaki ditahan cuba seludup 16 kilogram ganja di Padang Besar

PADANG BESAR: Cubaan seorang lelaki untuk memboloskan diri ke negara jiran selepas dikesan menyeludup dadah ke negara ini gagal selepas polis memberkasnya dan merampas 16 kilogram ganja bernilai RM49,600 di sekitar laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand, di sini Rabu lalu.
Kejadian berlaku sekitar jam 7.20 pagi apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar membuat intipan berhampiran pagar sempadan Malaysia-Thailand di belakang sebuah bangunan di Kampung Melayu Padang Besar.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, bertindak atas maklumat penyeludupan ganja menerusi Ops Tapis Khas, anggota polis yang bertugas ternampak seorang lelaki sedang berjalan kaki sambil membawa sebuah kotak menggunakan ‘laluan tikus’ di sekitar kawasan pagar keselamatan berkenaan.

“Suspek dipercayai baharu sahaja memasuki negara ini dari negara jiran menggunakan ‘laluan tikus’ yang sengaja dirosakkan di kawasan pagar sempadan itu dan menyedari kehadiran polis, suspek segera mencampakkan kotak berkenaan.

“Dia kemudian cuba melarikan diri untuk memasuki semula negara jiran menerusi ‘laluan tikus’ di kawasan pagar sempadan yang terletak sekitar 100 meter dari lokasi dia mencampakkan kotak itu namun kecekapan anggota kita, berjaya menangkapnya,” katanya pada sidang media di IPD Padang Besar, di sini pada Jumaat.
Katanya, selepas ditangkap, polis melakukan pemeriksaan dalam kotak yang ditinggalkan oleh suspek itu dan menjumpai 16 ketulan mampat dibaluti plastik disyaki dadah jenis ganja.
“Siasatan awal kita mendapati, suspek adalah pekerja rencam warga tempatan berusia 23 tahun dan dipercayai sudah aktif mengambil upah membawa masuk dadah ke negara ini sekitar November tahun lalu dimana untuk tugasan ini pula, dia dipercayai dibayar kumpulan sindiket dengan harga RM600 bagi satu ketulan mampat ganja itu.
“Bekalan ganja ini dipercayai menjadikan Perlis sebagai transit sebelum dibawa dan dipasarkan ke kawasan selatan tanah air dan bekalan ganja ini boleh digunakan oleh 32,000 penagih dadah di negara ini.
“Kita percaya nilai pasaran bagi setiap ketulan mampat ini adalah RM3,100 dan semakan rekod jenayah lampau suspek juga mendapati dia mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Beliau berkata, saringan ujian air kencing suspek juga mendapati dirinya positif dadah jenis syabu.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan adalah sekitar RM49,600 dan suspek direman selama seminggu sehingga 30 Januari hadapan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.