Lelaki maut kereta dipandu bertembung bertembung di lampu isyarat

TAWAU: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan di lampu isyarat Fujimart, Jalan Kuhara, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.40 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu lelaki Land Cruiser jenis Toyota Prado berusia 19 tahun dari arah Taman Semarak menuju ke bandar Tawau.

Katanya, mangsa yang memandu Vios pula dalam perjalanan dari arah Fujimart menuju ke Taman May Flower, Jalan Kuhara.

“Ketika tiba di lampu isyarat itu, kedua-dua kenderaan bertembung di bahagian tengah jalan lampu isyiarat sehingga menyebabkan Toyota Prado berpusing melanggar tiang dan terbabas sejauh 105 meter masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta Vios pula terbabas sejauh 155 meter ke bahu jalan kiri menuju bandar Tawau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, impak kemalangan menyebabkan pemandu Vios tersepit di
bahagian pemandu dan berjaya diikeluarkan dengan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian manakala pemandu Toyota Prado
tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan pihak polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, JBPM Tawau dalam satu kenyataan berkata, pihak bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa di lokasi kejadian menggunakan peralatan khas.

“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi keseluruhan ditamatkan jam 2.26 pagi,” katanya. – Info X