LELAKI MENUNGGANG MOTOSIKAL TANPA MEMILIKI LESEN, MAUT DALAM KEMALANGAN

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU: Seorang lelaki yang menunggang motosikal tanpa memiliki lesen memandu maut selepas terlanggar belakang sebuah kenderaan rosak di tepi jalan di Jalan Inderasabah semalam.

Mangsa yang dikenalpasti sebagai Hafsham Miezairin Ahag berumur 27 tahun meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tawau pada jam 10.30 malam.

Kejadian berlaku di Jalan Inderasabah melibatkan sebuah motosikal dengan kenderaan jenis Proton Exora, kata Ketua Polis Daerah ACP Peter Umbuas.

Siasatan awal menunjukkan mangsa sedang menuju ke rumahnya di Kg Inderasabah dari arah Balung dan setiba di tempat kejadian terlanggar belakang kenderaan yang ditinggalkan rosak oleh pemandunya di tepi jalan sebelah kiri, kata Peter.

Menurut Peter, pemandu kenderaan itu sedang mendapatkan bantuan untuk membaiki keretanya dan tidak berada di situ semasa kemalangan itu berlaku.

Mangsa mengalami kecederaan parah lalu di bawa ke Hospital Tawau oleh ambulans dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Kecemasan, katanya lagi.

Peter memberitahu bahawa pihak polis sedang menjalankan siasatan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.