Lelaki miliki dadah serang polis pakai parang. Kejadian di Papar

Tindakan seorang lelaki menyerang pasukan polis menggunakan sebilah parang membawa padah selepas ditahan di Papar dalam satu operasi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata kejadian berlaku apabila pihak polis mengarahkan suspek yang dalam keadaan mencurigakan untuk berhenti bagi menjalankan pemeriksaan.

“Sebaik diarahkan untuk berhenti suspek segera melarikan diri sebelum pihak polis mengejarnya dan berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi berkenaan.

“Suspek yang ditahan kemudiannya bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah parang dan cuba menyerang pasukan polis sebelum berlaku pergelutan.

“Tindakan pantas ditunjukkan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Natkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar berjaya menggagalkan tindakan suspek,” katanya.

Menurutnya suspek yang ditahan dan dibawa ke IPD Papar diarahkan untuk menjalani ujian air kencing sebelum disahkan terlibat dengan pengambilan dadah dan positif Methamphetamine serta Amphetamine.

“Polis turut merampas syabu seberat 5.63 gram yang dimiliki suspek dan suspek berumur 40 tahun itu kini ditahan reman mengikut kesalahan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kejayaan operasi ini adalah salah satu usaha PDRM dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, disamping mencegah aktiviti jenayah di Papar ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Saya menasihatkan orang ramai untuk memaklumkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah dan aktiviti jenayah didaerah ini,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *