Lelaki sesat ketika ‘hiking’ diselamatkan

SANDAKAN: Seorang lelaki yang tersesat ketika melakukan aktiviti mendaki ‘hiking’ di Sandakan Rain Forest Tshun Ngen, Batu 5, di sini, petang tadi, ditemui selamat.

Mangsa berusia 25 tahun ditemui selamat oleh pasukan bomba yang melakukan pencarian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.35 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan enam anggota termasuk pegawai dengan dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, operasi turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mangsa diberi rawatan oleh kakitangan KKM sebaik mangsa ditemui. – Foto/Bomba

“Pasukan operasi melakukan pencarian dan menemui mangsa pada jam 7.30 malam.

“Mangsa ditemui pada jarak kira-kira dua kilometer dari mula-mula mangsa hiking,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa dalam keadaan selamar dan diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 8.21 malam,” katanya. – Info X