Lembaga Pengarah SESB hargai khidmat bomba, warga kerja SESB padam kebakaran kabel

KOTA KINABALU: Lembaga Pengarah Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang terbabit dalam operasi memadam kabakaran kabel di stor syarikat itu di Batu 7, Jalan Tuaran, Inanam, baru-baru ini.

Ucapan itu disampaikan melalui satu rakaman video berdurasi 1.53 minit yang dimuat naik dalam laman Facebook Pengerusi SESB yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau.

Melalui rakaman berkenaan, Madius yang mewakili ahli lembaga pengarah dan warga kerja SESB mengucapkan terima kepada anggota bomba yang bersusah payah membantu memadam kebakaran berkenaan selama beberapa hari.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah SESB dan warga SESB, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba yang bertungkus lumus memadam kebakaran di stor SESB, Batu 7, Inanam, baru-baru ini.

“Kami juga menyatakan penghargaan bagi pihak Lembaga Pengarah SESB kepada semua warga SESB yang terlibat memadam api hingga selesai,” katanya.

Dalam kejadian pada 4 April lalu, SESB kerugian kira-kira RM40 juta akibat kebakaran yang memusnahkan sejumlah besar gulungan kabel di stor simpanan syarikat itu di Inanam.

Kebakaran yang bermula tengah hari keesokan hari itu membabitkan keluasan 1.2 hektar.

Kabel yang ditempatkan di stor itu adalah untuk diagihkan ke seluruh negeri, kebanyakannya digunakan membuat penyambungan bekalan elektrik ke rumah pengguna. -Info X