Lima lelaki kena tahan di Tuaran sebab simpan mercun, bunga api di rumah untuk dijual

 Tindakan lima lelaki menjadikan rumah sebagai stor menyimpan mercun dan bunga api membawa padah selepas ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata kegiatan lima suspek dikesan selepas pasukannya membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Termenung di sini kira-kira jam 9.50 malam kelmarin.

“Semasa diserbu terdapat lima lelaki berada di ruang tamu dan dipercayai menjalankan aktiviti jual beli mercun dan bunga api.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pasukan serbuan berjaya menemukan 13 jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM5,000 berdasarkan harga pasaran semasa yang disimpan di dalam rumah berkenaan,” katanya semasa sidang media di sini sebentar tadi.

Katanya hasil daripada soal siasat awal mendedahkan salah seorang suspek mengaku pemilik rumah dan menjalankan aktiviti penjualan dan pembelian mercun serta bunga api berkenaan.

“Kelima-lima suspek membabitkan lelaki tempatan berusia 19 hingga 37 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan didapati negatif hasil ujian saringan urine.

“Kesemua rampasan membabitkan pelbagai jenis mercun dan bunga api itu kemudiannya dibawa balik ke IPD Tuaran untuk tindakan selanjutnya dan lima suspek kini direman sehingga 8 Mei depan untuk membantu siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya. – Utusan Borneo