Lima orang kena tahan polis pasal 6.09 kilo syabu, kejadian saana Tawau

Lima individu termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki memiliki 6.09 kilogram (kg) dadah jenis syabu di Kampung Inderasabah, Batu 24, Jalan Apas, di sini, pada Ahad.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, sepasukan anggota polis melakukan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan selepas menerima maklumat aktiviti pengedaran dadah.

Menurut sumber, hasil pemeriksaan dalam bilik berkenaan, polis menemui sebuah kotak berwarna coklat yang disembunyikan di bawah sebuah meja di situ.

Hasil pemeriksaan ke atas kotak terbabit berjaya menemui enam bungkusan plastik lutsinar dipercayai mengandungi 6.09kg dadah jenis syabu.

Ujian saringan air kencing menunjukkan hanya seorang suspek iaitu lelaki, 39, positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, manakala yang lain negatif.

Siasatan awal mendapati, suspek lelaki berumur 39 tahun itu didakwa memiliki dadah berkenaan, manakala empat lagi menafikannya.  

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas menerusi kenyataan medianya mengesahkan penahanan semua suspek yang merupakan warga tempatan berumur tujuh hingga 61 tahun berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan pemilikan dadah dan Seksyen 15 (1) akta yang sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan tanpa kebenaran.

“Kesemua suspek didapati tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kini direman selama 14 hari bermula Isnin bagi membantu siasatan,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *