LPP mahu lebih ramai golongan muda menjadi usahawan tani

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mahu mengajak lebih ramai golongan muda terutamanya graduan terlibat  secara langsung dalam sektor pertanian untuk menjana peluang pekerjaan.

Pengerusinya Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata sektor pertanian ketika ini merupakan satu cabang kerjaya yang mampu memberikan pendapatan lumayan kepada individu atau syarikat terlibat.

“Kita (LPP) meletakkan sasaran tinggi iaitu mahu memartabatkan sektor pertanian ini setaraf dengan sektor lain seperti pembuatan dan sebagainya.

“Sektor pertanian ini telah mendapat tempat dan kami mahu mengajak rakan-rakan terutamaya generasi muda supaya melibatkan diri dengan bidang ini kerana ia telah terbukti melahirkan jutawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas Program Bantuan Banjir MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) Prihatin berupa barangan keperluan harian kepada 30 wakil Pertubuhan Peladang Kawasan  di Pusat Agropelancongan Permata Rimba, Kampung Enggong, Kuala Krai di sini, hari  ini.

Nik Muhammad Zawawi berkata LPP sendiri mempunyai peruntukan geran RM20,000 seorang kepada golongan muda yang mahu melibatkan diri dalam sektor pertanian.

“Kekuatan itu kita ada…LPP sentiasa memberikan tunjuk ajar kepada rakyat untuk terlibat dengan sektor pertanian, namun rakyat sebaliknya perlu menggunakan kekuatan yang dimiliki seperti peruntukan geran, tanah dan sebagainya.

“Anak-anak muda merupakan generasi yang layak mengambil ahli sektor pertanian ini dan martabatkan sektor ini suapaya ia setaraf dengan sektor lain yang ada dalam negara kita dengan teknologi semasa,” katanya.

Katanya golongan muda khususnya graduan pertanian harus berpandangan ke hadapan bagi memperkembangkan sektor pertanian negara  sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Mereka (graduan) ini telah mempunyai pengetahuan apa yang dipelajari mereka dan isu ini perlu ada penyelarasan antara graduan dengan agensi terlibat untuk menggalakkan mereka menjadi usahawan tani.

“Golongan muda perlu berkerjasama dengan pihak kerajaan, pemimpin setempat , wakil rakyat untuk mendapatkan bantuan sekiranya tiada kekuatan namun mempunyai minat untuk menjadi usahawan tani,” katanya.