MADIUS : CADANGAN DUA INSTITUSI AKAR UMBI ANTI PERPADUAN

KUALA LUMPUR: Sebarang cadangan penubuhan sebuah lagi institusi yang menyerupai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) di peringkat akar umbi adalah tidak mesra perpaduan dan hanya menghuru-harakan keharmonian sedia ada.

Ahli Parlimen P170 Tuaran (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, adalah sesuatu yang tidak wajar untuk menubuhkan jawatankuasa itu seperti yang digembar-gemburkan di Sabah pada ketika ini.

“Sistem kerajaan kita juga mempunyai satu perdana menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan, satu ketua menteri di Kerajaan Negeri, satu pegawai daerah di peringkat daerah dan satu pentadbiran di peringkat kampung iaitu MPKK.

“Namun di Sabah ada sudah ura-ura akan ditubuhkan sebuah lagi jawatankuasa komuniti yang baru. Ini bermaksud ada dua ketua di peringkat kampung, seorang MPKK dan seorang lagi JKKK Persekutuan.

“Kalau inilah yang dilaksanakan Puan Yang Dipertua, saya fikir bukan keharmonian yang dicari, bukan kemakmuran yang dicari tetapi perbalahan dan porak poranda di kampung yang dicari,” katanya.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian ketika membahaskan titah diraja berhubung isu perpaduan dalam Sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah tersebut menegaskan agar hanya satu institusi iaitu MPKK di peringkat akar umbi.

“Sekiranya ada mana-mana penduduk di sesebuah kampung yang berminat menjadi pengerusi, boleh ikut bertanding semasa proses pemilihan secara undian,” katanya.