KOTA KINABALU: Rakyat wajib bersiap-sedia menghadapi rutin baru kehidupan selepas wabak virus corona (COVID-19) berakhir kelak.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, “Hidup kita akan kembali normal, itu doa kita semua. Tetapi percayalah, hidup kita kelak bukan lagi sama seperti keadaan yang biasa sebelum ini. Kita akan berhadapan dengan cara kehidupan yang baru, akan ada kebiasaan baru setiap hari. Mari siap-sedia hidupi rutin baru itu.”
“Kelmarin, disahkan sudah lebih tiga juta orang positif COVID-19 di seluruh dunia dan telah mengorbankan lebih 210 ribu orang. Wabak ini sangat dasyat, justeru kita mesti patuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Secara khusus bagi kita di Sabah, saya menggesa semua untuk menyesuaikan diri kepada cara kehidupan biasa ataupun normal bermula sekarang,” tambah beliau.

Madius, yang juga merupakan Menteri Perdagangan dan Perindustrian serta Presiden United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO) menggariskan sekurang-kurangnya dua perkara cara hidup normal baru yang wajar diambil kira.
“Wabak ini mengesahkan lagi keyakinan kita selama ini bahawa sektor makanan mesti kita perkukuhkan. Kita juga akur, sistem telekomunikasi terutama jaringan internet yang berkapasiti laju mesti wujud di semua kawasan,” katanya.
Justeru, beliau mengesyorkan semua untuk mempergiatkan lagi inisiatif dan berinovasi dalam penanaman tanaman makanan seperti padi, pelbagai jenis ubi dan sayur-sayuran lebih-lebih lagi yang boleh tahan lama, selain mempertingkatkan lagi sektor penternakan dan perikanan.

“Keterangan lanjut mengenai semua ini akan Kerajaan perincikan secepat mungkin. Sementara itu, saya mohon semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mengenal pasti tanah terutama yang terbiar namun sesuai untuk penanaman padi, contohnya,” katanya lagi.
Madius berkata, telekomunikasi sangat penting terutama kabel fiber kerana era selepas COVID-19 bakal melihat pengurangan kontak secara fizikal.
“Persekolahan dan pembelajaran serta mesyuarat-mesyuarat akan dilakukan secara atas talian. Rutin, kebiasaan baru mewajibkan kita untuk berada dalam era digital. Semua realiti ini harus kita terima dan hadapi dengan tangan dan hati yang terbuka seandainya kita mahu terus progresif dan makmur,” tambah beliau.
Madius berkata demikian kepada media di sini hari ini ketika diminta untuk menghuraikan ucapan ringkas beliau semasa menghulurkan bantuan barangan makanan untuk lebih 4,300 penerima di seluruh Tuaran di Balairaya Kg Rumindako, Dewan Masyarakat Kiulu dan Dewan Serbaguna Tamparuli kelmarin.

Bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri dan badan-badan berkanun bukan Kerajaan itu akan dibahagikan secara berperingkat-peringkat terutama melalui MPKK.
Turut hadir dalam acara ringkas itu ialah dua setiausaha politik beliau, Joisin Romut dan Albert Bingkasan serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kiulu, Suali Sikir./beritasabah.com

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ