MADIUS: SALAM AIDILFITRI, SYUKUR FAMILI JAMALI SAMBUT RAYA

KOTA KINABALU: Sempena Aidilfitri ini, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mengucapkan selamat hari raya kepada umat Islam di Tuaran dan semua yang menyambutnya.

Menerusi hantaran di Facebooknya, pagi tadi, beliau yang juga presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut memohon maaf sekiranya pernah terkasar bahasa atau tersilap budi bicara selama ini.

“Di pagi raya ini saya ingin mengambil kesempatan untuk menghulurkan salam kemaafan jika ada terkasar bahasa atau tersilap budi bicara selama ini.

“Saya juga ingin mengajak agar semua kita terus mematuhi SOP dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan agar kita semua sentiasa dihindari daripada perkara yang tidak diingini khususnya ancaman wabak pandemik Covid-19.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Salam 0-0,” katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri.

Sementara itu dalam satu lagi hantarannya di Facebook, Madius bersyukur kerana tiga sekeluarga yang tinggal di sebuah kediaman usang di Tuaran dapat menyambut Syawal dengan lebih bermakna dan selesa tahun ini.

“Di kala semua dalam persiapan menyambut raya di rumah masing-masing, Jamali Sigid menanggung keperitan hidup di kediaman yang usang ini.

“Kediaman yang tidak layak untuk didiami. Atap bocor, dinding kosong dan dikelilingi semak samun,” katanya dalam hantaran itu.

Madius berkata, beliau sedih melihat keadaan keluarga berkenaan yang bukan saja terjejas kerana kediaman itu dinaiki air ketika hujan, malah turut pernah dikejutkan dengan kehadiran biawak matang yang merangkak rangkak di atas badannya ketika tidur pada waktu malam.

“Anaknya juga menceritakan bagaimana kisah ular yang sering menceroboh apabila musim hujan. Hingga kelama-lamaan itu menjadi lumrah bagi mereka.

“Terima kasih kepada orang awam yang sudah memaklumkan saya tentang keluarga ini. Saya memahami dengan penuh empati.

“Lantas saya mengambil inisiatif segera dengan Majlis Daerah Tuaran dan menempatkan keluarga di rumah Taman PPR Sri Rugading. Segala kos buat sementara ini saya tanggung.

“Syukur Hari Raya ini sekurang-kurangnya mereka boleh beraya dalam keadaan yang lebih selesa.

“Saudara dan saudari, hidup ini terlalu singkat untuk dijalani. Selagi diberikan nafas hidup, marilah kita sebarkan kebaikan sesama manusia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.-http://beritasabah.com