MADIUS SAMBUT BAIK KUASA AUTONOMI SABAH KE ATAS URUS TADBIR BEKALAN ELEKTRIK, BERHARAP DIPERLUAS KEPADA PEMILIKAN SESB

KOTA KINABALU: Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyambut baik penurunan kuasa (delegation of power) urus tadbir bekalan elektrik daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Sabah selepas tiga Rang Undang-undang (RUU) diluluskan dalam Mesyuarat Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.

Menurut beliau, kelulusan tiga RUU berkenaan tepat pada masanya dalam reformasi urus tadbir kerajaan yakni desentralisasi kuasa sekali gus memperluaskan autonomi kerajaan Sabah yang sebelum ini tidak merangkumi kawal selia bekalan tenaga.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang memberi kepercayaan dan keyakinan kepada Sabah. Kepada Kerajaan Sabah tahniah dan Syabas diatas kesanggupan menerima tanggungjawab yang mencabar ini dan ini merupakan pencapaian yang bersejarah.

“Pada masa yang sama, saya juga berharap agar kuasa autonomi ini turut diperluaskan kepada SESB selaku syarikat utiliti yang berniaga membekalkan bekalan elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Madius berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran memaklumkan, SESB pada ketika ini masih dimiliki Tenaga Nasional Berhad dengan 80 peratus pemilikan saham.

“Kerajaan Sabah pula hanya memiliki 20 peratus saham di dalam SESB. Dan Kementerian Kewangan Persekutuan memegang golden share selaku institusi kerajaan yang memberi sejumlah RM1 bilion dana dalam bentuk Bantuan Subsidi Tarif (TSS) dan subsidi bahan api.

“Untuk menjadikan syarikat ini sebagai sebuah syarikat di bawah kerajaan negeri, maka pemilikan saham TNB sebanyak 80 peratus itu perlu dibeli oleh kerajaan Sabah,” jelasnya.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu turut menggariskan sebuah lagi cabaran dihadapi SESB iaitu kebergantungan penuh terhadap subsidi kerajaan persekutuan untuk memastikan kelangsungan operasi.

Menurutnya, ia kerana SESB secara teknikalnya muflis memandangkan tarif jualan elektrik kepada pengguna lebih rendah iaitu RM0.34 berbanding kos pembelian atau penjanaan iaitu RM0.43 sen seunit elektrik.

“Dalam erti kata lain, SESB mengalami kerugian sekitar hampir RM0.10 dalam seunit jualan elektrik kepada pengguna.

“Bagi menampung kerugian ini, maka kerajaan persekutuan memberikan subsidi, yang mana tahun lalu sahaja sekitar RM800 juta subsidi diperuntukkan kepada SESB.

“Cabaran inilah yang juga perlu diambil kira, ditangani dan difikirkan kerajaan Sabah dalam usaha mengambil alih kepemilikan penuh SESB,” katanya.

Walau bagaimanapun Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu, menaruh keyakinan bahawa ia boleh dicapai dalam tempoh tujuh tahun dari sekarang sekiranya Pelan Transformasi SESB dapat dijayakan bersama seluruh pemegang taruh.

Untuk rekod, tiga RUU yang diluluskan pada Mesyuarat Sidang Khas DUN Sabah pada Rabu adalah RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, RUU Bekalan Elektrik 2024 dan RUU Tenaga Boleh Baharu 2024.